Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai 'suapan' dan 'juadah' yang berupa berita atau isu yang membabitkan masalah segelintir masyarakat yang berkemungkinan terjejas dan terhakis kesetiaan pada Allah SWT. Namun kita sebagai insan biasa kurang mampu memperbetulkan kesalahan demi kesalahan yang dilakukan oleh mereka malah kadangkala jika kita cuba mengumpul kekuatan untuk memperbetulkan kesilapan itu, pelbagai cemuhan dan sindiran yang akan kita terima…
Orang yang diberi HIDAYAH oleh Allah sahaja yang mampu menerima teguran demi menjaga hubungan dengan ALLAH…Oleh itu,kita perlulah memiliki satu kaedah diplomasi yang tidak menyentuh kalbu orang yang kita hendak tegur itu. Kita perlu mengamalkan BUDAYA MENEGUR DENGAN LEMAH LEMBUT DAN BIJAKSANA.
Firman Allah ta`ala yang bermaksud: “Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” (Surah An-Nahl: 125)
Sudah menjadi lumrah bagi setiap muslim yang benar-benar beriman kepada Tuhannya untuk merasa cemburu terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mata. Begitulah sepatutnya yang perlu ada dalam setiap jiwa muslim hari ini. Merasa benci dan tidak setuju dengan ‘muhkhalafah syar`iyyah’ yang terjadi.
Kita semua juga mengetahui sepotong hadis Rasulullah s.a.w yang popular yang menyuruh kita merobah dan memperbetulkan kesalahan dan kemungkaran dengan tangan atau kuasa jika kita punya kemampuan. Jika tidak, maka dengan lidah dan jika tidak mampu dengan pertuturan, maka dengan kebencian hati terhadap kemungkaran tersebut.
Jika merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para da`ei supaya menyebarkan dakwah dan memberikan nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan penuh strategi.
Beginilah yang sepatutnya berlaku terhadap para da`ei ketika mereka menjalankan kerja-kerja mulia ini. Apabila mereka berhadapan dengan orang-orang yang melakukan kesalahan atau maksiat di kalangan saudara mereka sesama muslim, mereka perlulah menggunakan pendekatan positif dan bijaksana agar pihak yang ditegur mereka berhenti dan menginsafi atas kesalahan mereka.
Janganlah kita menggunakan ‘teguran’ atau ‘nasihat’ itu sebagai jalan untuk membalas dendam kepada seseorang. Bukankah itu menunjukkan yang kita sedang menunggu-nunggu kesalahan orang? Sedangkan di dalam Islam, kita dituntut untuk sentiasa bersikap ikhlas dan amanah dalam setiap nasihat dan teguran yang dibuat. Apabila menegur, janganlah sekali-kali kita menggunakan bahasa dan nada yang kasar. Jauhilah dari menegur seseorang itu di khalayak ramai .kerana ini akan memalukan dan mengaibkan pihak yang ditegur.
Carilah waktu yang sesuai untuk menegur. Bersemukalah dengan pihak berkenaan dan gunakan kata-kata lembut dan
Jadikanlah Rasulullah s.a.w sebagai role model kita. Lihatlah bagaimana sewaktu baginda didatangi oleh seorang lelaki yang meminta izin dari baginda untuk berzina. Lalu apakah respon baginda? Adakah Rasulullah mencerca atau memukul atau memaki-hamun lelaki tersebut? Bahkan Rasulullah bertanya lelaki itu kembali, “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?” Jawab lelaki itu: “Aku tidak suka ya Rasulullah,” Lantas baginda berkata dengan lembut: “Begitu juga dengan orang lain, mereka jua tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di kalangan kerabat mereka.”
Itulah dia antara uslub Rasulullah menegur dan berdakwah kepada orang lain. Lalu mengapa kita sering ketepikan tips-tips yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w? Kenapa kita sering ‘berkasar’ ketika menegur saudara-saudari kita sesama muslim? Gunakan budaya menegur sebagai perantaraan untuk menambah kawan dan taulan bukan untuk mencari musuh dan pergaduhan

No comments:
Post a Comment